Januari yang sejuk
Cuti Raya cina dah tamat, esok anak anak bersekolah seperti biasa dan aku akan kembali menjadi pendekar di jalan dan di dapur. Rutin yang aku galas semampu mungkin. Cuaca kembali menjadi nyaman dengan simbahan hujan dan awan yang mendung. Sekeliling aku bergema suara alam. Alam berbicara padaku dengan puitis sekali. Ketenangan ini adalah kurniaan Allah tidak ternilai buat aku. Suasana kampung yang tenang dan sepi buat aku tenggelam dalam kedamaian yang tidak dapat aku nyatakan dalam tulisan maupun kata kata. Burung burung yang mendiami hutan di sekeliling rumah aku memeriahkan lagi suasana dengan siulan manja mereka menyambut pagi yang damai walaupun mendung di hujung langit. Aku boleh mendengar hati aku berbicara....memikirkan masa depan, memikirkan amal ibadah yang serba cetek untuk aku bawak pulang mengadap Ilahi.
Di awal tahun yang serba hijau dan misteri ini aku masih di sini bersama anak anak menempuh hari hari yang mendatang. Dalam berapa minggu saja sekolah akan kembali tutup untuk cuti penggal terakhir untuk sessi 2022. Lepas tu Ramadhan akan menjenguk kembali! Masya Allah semoga Allah bagi aku peluang lagi untuk khatam Quraan dan cukup berpuasa sekali lagi. Tahun ini aku nak go easy. Aku tak nak bersusah payah buat kuih raya dan menu berbuka akan seringkas mungkin kerana fokus aku adalah untuk menghidupkan malam dengan aktiviti mengejar pahala bersama anak anak ku.


Comments