My Simple Short Story : Berdasarkan kisah tak berapa nak betul: hahhaahhahahaha sapa plagiat dia setan!!!
Setiap kali mereka bergaduh,
keadaan akan menjadi sangat menyusahkan pada semua orang dan lebih- lebih lagi
pada aku. Malam ini sangatlah malang
buat aku. Aku terpaksa menutup kedai dan mengira keuntungan jualan pada hari
ini dan membawa sejumlah wang yang besar pulang ke rumah. Ini adalah di antara tugas yang sangat
membebankan apatah lagi bahaya buat aku. Aku selalu terbayangkan aku dirompak,
disamun, dan mayat aku dilempar ke dalam semak atau longkang.
Oh! Ngeri !!
Tapi pilihan apa yang
aku ada? Mona tak balik dan masih di kolej. Uncle Joe entah kemana menghilang
dan Salma, merangkap makcik aku dan tuan kedai juga turut hilang. Mungkin dia
telah pun balik tanpa memberitahu padaku. Memang sangat sukar berkerja dengan
Pakcik dan Makcik ku. Kalau sehari tak bergaduh, berperang atau memaki hamun di
antara keduanya, maka pincanglah hari tu bagi mereka berdua.
Aku cepat cepat mengemas kaunter.
Sally ku lihat tekun menyusun tshirt yang berterabur dalam stor.
“Sudahlah tu. Kalau kau nak
balik, balik lah, Aku nak tutup kedai. Esok kita buat sama-sama. Aku tak suka
berlama-lama dengan wang yang banyak ni.” Aku bersuara membuatkan Sally rakan
sekerja ku menoleh melihatku.
“Oklah. Aku pun nak balik. Hujan
dah kat luar tu. Kau tarik roller ya” Dengan bicara itu, Sally terus berlari
keluar mencapai beg dan jaketnya. Aku menghabiskan tugasan di kaunter.
Menyimpan semua wang yang sudah tepat dikira, mengikat dengan kemas dan
menyumbat jauh ke dalam beg sandangku.
RM7000 bukan jumlah yang sedikit.
Bayangan aku dirompak kembali bermain di dalam kepalaku.
Setelah selesai aku
terus menyarungkan jaket, menutup lampu langsung terus keluar. Roller shutter
berdetum bunyi bila dihempas ke lantai. Aku sempat menjeling kearah kedai kedai yang
lain yang kebanyakkannya juga sudah tutup. Aku mempercepatkan langkah menuju ke
pintu keluar pasar raya itu. Zoey dan Hamdan tidak lagi kelihatan, mungkin
mereka telah pun sampai ke rumah masing-masing. Semasa melintas ruang legar aku
dapat mendengar bunyi roller shutter yang berdetum detam menandakan hampir
keseluruhan kedai- kedai di situ sudah tamat beroperasi dan beberapa minit dari
sekarang pasaraya itu akan bergelap.
Sesampainya aku di
pintu keluar, kulihat hujan gerimis, angin agak kencang dan sayup –sayup
kedengaran bunyi keretapi tiba di stesen yang terletak 50 meter dari tempat aku
berdiri ini. Dengan pantas aku bergegas berlari merentasi hujan lebat. Aku berlari selaju mungkin. Sewaktu aku tiba di
kaunter tiket, kulihat jam sudah pun bergenjak tepat ke pukul 10 malam. Hujan
semakin lebat dan angin menderu deru. Aku kesejukkan. Jaket denim yang kupakai
kukira sangat tebal, kini terasa nipis. Alhamdulillah jaket ini tidak basah
sangat ketika aku meredah hujan tadi.
Setelah membeli tiket
aku berjalan ke tempat duduk dan mengubah posisi beg sandang ke hadapan.
Kulihat tidak seberapa penumpang yang ada. Suasana lampu di platform yang suram
sangatlah tidak selesa dan ini mengundang aura seram yang boleh mengundang pelbagai kejadian tidak elok.
Aku beristighfar, menyerahkan diri pada Allah yang maha Kaya. Tak dapat aku
bayangkan apa yang terjadi jikalau ada manusia yang tahu akan jumlah wang yang
tersorok di dalam beg sandang ku ketika ini. Aku memeluk erat beg sandangku.
Sedang aku melayan perasaan, bunyi hon tren yang lantang berserta lampu yang
memancar menyuluh ke arah platform Aku
terus bersiap sedia berdiri di belakang garisan kuning dan menunggu tren
berhenti dengan sempurna. Tidak ramai yang menaiki tren ini. Aku mengambil Koch
yang tengah, Aku terlalu penat untuk berlaki ke hadapan.
Sebaik
saja pintu tren dibuka aku terus melompat masuk dan bergegas mencari tempat
duduk yang selesa dan berdekatan dengan pintu keluar. Tren terasa sejuk. Duduk
berdekatan denganku adalah seorang gadis sebaya aku yang terus memejamkan
matanya. Di sebelah kiri hujung pula sepasang kekasih berbangsa cina sedang duduk
dan tidur. Hanya aku saja yang tak mungkin akan terlena dengan suasana
sebegini. Aku hanya memandang ke luar tingkap dan melayan perasaan. Hujan
semakin lebat dan galak di luar tingkap tren. Jam di telefon ku sudah
menunjukkan ke pukul 10:20 malam. Kali terakhir aku menaiki tren ini adalah
beberapa bulan yang lalu, kerana setiap hari aku menumpang Hilux makcik Salma untuk ke butiknya. Sesekali menaiki tren di kala ini menjadikan aku sangat
takut. Kalaulah mak ayah tahu, memang sah aku akan dipaksa berhenti kerja.
Suasana di kampung
lain, aku tidak sewenang wenangnya
keluar merayau di waktu ini , tetapi sejak berkerja dengan makcik ku, rutin aku
berubah sama sekali. Aku terkenangkan kampung halaman. Sedar tak sedar dah
hampir setengah tahun aku tak pulang menjenguk mak dan ayah. Kekadang aku
dikejar rasa bersalah kerana datang ke Kuala Lumpur mencari rezeki sedangkan di
kampung juga punya banyak peluang kerja. Aku memasang azam untuk balik ke
kampung 2 minggu dari sekarang. Persetankan apa yang makcik Salmah akan kata.
Konflik di antara dia dan suaminya memang memenatkan aku yang terhimpit di
tengah tengah.
Tiba-tiba tren yang
tadi bergerak laju kini beransur ansur perlahan dan berhenti di stesen Salak
Selatan. Lamunan aku terhenti . Cuba untuk melelapkan mata barang sedetik,
Terasa penat tubuh dalam kedinginan malam sebegini.
Aku memejamkan mata
cuba merehatkan mata yang letih. Kedengaran
pintu tren dibuka dan berpusu pusa bunyi tapak kasut yang melangkah masuk.
Serentak itu aku membuka mata dan apa yang kulihat berpusu pusu masuk adalah
beberapa orang wanita dan kanak kanak, tak kurang kaum lelakiyang berpakaian di
zaman dahulu kala ataupun tidak keterlaluan kukatakan mereka berpakaian seperti
yang terdapat di dalam buku teks sejarah sekolah menengah! Yang wanitanya
berpakaian kebaya pendek, berkain batik, menutup kepala dengan selendang jarang
dan ada yang hanya bersanggul tinggi seperti yang kita selalu lihat di dalam
filem melayu lama.
Yang lelakinya
berbaju melayu, bersongkok hitam senget, bercapal, ada yang berkot hitam tapi
berkain pelikat. Aku menelan air liur. Tekak terasa loya secara tiba tiba. Aku
memejam dan membuka mata berkali kali.
Budak perempuan yang
duduk tidur tadi ku lihat tidak berkutik dan pasangan cina yang juga turut lena
juga masih lena. Hanya aku yang duduk membatu diri terpaku merenung manusia manusia pelik itu dengan
penuh kehairanan. Mereka rancak berbual sesama mereka. Ada pula dua, tiga yang
mendukung ayam hidup! Aku kembali memejam dan membuka mata berkali kali untuk
memastikan bahawa ini hanyalah mimpi! Malahan setiap kali mata ku dibuka
manusia manusia itu tetap di situ. Mereka memenuhi setiap ruang tren, ada yang
duduk, ada yang berdiri di hadapan pintu,malah
ada yang bersembang sembang dengan riuh rendah. Tua muda tidak
kurangnya. Ada yang mengusung bakul bakul rotan berisi kuih muih, dan sayur sayuran. Malah ada yang memasuki
tren menjunjung sebakul penuh nasi lemak yang wanginya bukan kepalang,
“Nasi lemak, nasi
kuning, pulut panggang, karipap!” Jerit nenek yang membawa nasi lemak itu. Aku
menjenguk di luar. Hari gelap tetapi kenapa menjual sarapan pagi? Ada beberapa
orang yang menghampiri nenek itu dan membeli. Aku baru sedar yang aku tidak
menjamah apa apa pun sejak pukul 2 tadi petang. Hati teringin hendak membeli
tetapi aku takut. Aku kekal di tempat duduk sambil tangan kuat memeluk beg. Aku
tak henti membaca beberapa ayat Al Quraan. Pesanan Tok Dah guru mengaji aku
tidak pernah luput dari ingatan.
Aku terus mengamati mereka dengan
penuh kehairanan. Beberapa orang lelaki muda agak melampau apabila mereka
menyalakan rokok dan menghisap rokok tanpa menghiraukan tanda amaran rokok yang
ada di dalam tren ini. Malahan yang agak berumur pula menghisap paip! Asap
rokok dan asap paip berkepul kepul memenuhi udara . Aku menelan air liur dan
merapatkan diri ke kiri. Suasana hujan di luar menambahkan kedinginan di dalam
tren itu. Aku tertelan air liur melihat manusia manusia itu. Aku mengeluarkan
telefon pintar dari kocek jaket denim ku, dan kulihat liputan talian telefon ku
penuh malah bateri aku jugak penuh. Adakah aku sedang merentasi masa atau masa
tiba tiba berpatah balik?
Tiba-tiba seorang wanita muda
yang tinggi lampai, sangat cantik
menghampiri tempat duduk di sebelahku yang kosong lalu duduk dengan selamba.
Dia memakai kebaya hijau dan berkain batik,
bersanggul cina. Di tangannya mengepit tas tangan yang bersulam cantik. Aku penah
melihat tas tangan ini di dalam album lama milik nenekku di kampung.. Aku tidak
tahu samada dia sedar akan kehadiran aku di situ atau tidak. Sangkaan aku
meleset apabila sebaik saja dia duduk, dia terus tersenyum penuh mesra padaku.
Aku kaget dan mengesot ke tepi. Aku memberi ruang walaupun ruang telah ada.
Minyak wangi yang dipakainya berbau manis umpama bau sirap Ros yang mak selalu
gunakan ketika memasak nasi minyak! Aku cuba menahan nafas. Naik kembang kempis
hidungku jadinya. Dari ekor mata aku terus memerhatikan jemari wanita di
sebelah aku ini. Halus dan runcing. Kulitnya bersih dan di memakai beberapa
urat gelang emas yang besar besar belaka. Di jemarinya terselit beberapa bentuk
cincin yang cantik. Sebentuk cincin di jari manis nya sangat menarik. Berbatu
merah delima bertatahkan beberapa biji berlian ku kira. Sangat indah buatannya.
Jadi ralit pulak aku melihat.
“Beraninya dia memakai barang
kemas sebegini banyak, dah la naik tren sorang sorang!” Aku berdesis di dalam
hati. Mata aku masih cuba mencuri pandang. Wanita itu kulihat tenang memandang
ke hadapan. Sesekali tersenyum pada beberapa kanak kanak di hadapan kami. Kanak
kanak itu jugak berpakaian ala ala dulu kala, berbaju kurung lusuh dan tidak
berkasut. Rambutnya di sepit dengan penyepit rambut berwarna silver. Rambutnya
sangat berminyak. Namun tetap comel.
“Cik, hendak ke mana?” Aku
memberanikan diri bertanya. Aroma minyak wangi yang dipakainya begitu menusuk
sekaligus membuatkan aku teringatkan bilik tidur nenek di kampung.
“Saya hendak ke kampung Bidara.”
Lembut tutur bicaranya.
“Kamu pula hendak kemana? Seorang
diri kah?” Soalnya pula.
Aku menelan air liur. Kaget untuk
menjawab soalannya. “Saya nak pulang ke
rumah ayah saudara saya di Gombak.”
“Gombak? Jauhnya tempat itu.
Tidak pulak saya tahu ada orang tinggal di situ. Ayah saudara kamu ada rumah di
situ kah? Soalanya membuatkan jantung aku berdegup laju. Renungan matanya
lembut.
“Ya ramai tinggal di situ.,,,,”
Aku tidak dapat meneruskan lagi kata kata kerana hatiku kuat berkata ada sesuatu
yang tidak kena di sini. Memang sah!
Masa telah terhenti seolah olah
terhenti ataupun berpatah balik. Aku memicit kepala. Gadis di hadapan ku tetap
di dalam lenanya! Mau saja aku menjerit supaya dia bangun, tetapi kalau aku
berbuat demikian, mungkin aku akan menerima padah pulak! Aku cuba belagak
tenang. Aku memandang keluar, hujan masih gerimis. Tiba tiba….
“Bukan semua orang boleh nampak
kami. Tapi kamu boleh. Hehehehe….Ini waktu kami. Kami akan keluar bersiar siar
melawat sanak saudara dan melihat suasana dunia. Jangan terkejut sangat dan
jangan takut. Nama aku, Sarina. Aku selalu menggunakan laluan ini untuk pulang
melihat anak anak ku di kampung Bidara.” Wanita yang bernama Sarina itu terus
tersenyum melirik memandang aku. Terkejut hatiku bukan kepalang lagi mendengar
kata-katanya. Memang sah malam ini sangat ganjil dan aku tak putus putus
membaca ayat ayat pelindung Al Quraan.
“Boleh saya tahu awak berada di
tahun berapa?” Aku menduga, dan cuba berlagak berani.
“Ini tahun 1951. Tahun yang bagus. Kenapa engkau bertanya
kalau kau sudah pun tahu kami bukan dari zaman mu. Zaman kami anak anak masih
baik terpelihara dan masih patuh dan akur pada ibubapa. Adat dan resam
terpelihara dan perasaan malu masih kuat di dalam diri.” Sarina terus melihat
aku dari atas ke bawah. Aku terasa tersindir. Merah padam wajahku. Aku melihat
keadaan sekeliling. Kaum wanitanya dan anak gadis sebaya aku berkain batik,
berbaju kurung dan bertudung, walaupun tidak sempurna tapi masih melindungi
dada dan pandangan mereka.
“Kamu kira, berpakaian seperti
ini kamu sudah maju ke hadapan? Malah merayau rayau kala lewat malam begini
sesuatu yang tidak salah atau pelik?” Sarina terus menyindir aku. Aku tidak
faham kenapa dia terus terus menyerang aku dengan kata kata sedemikian.
“Cik Sarina, kalau Cik Sarina
tidak tahu apa apa, jangan cuba nak cakap ikut sedap mulut. Kalau boleh jangan
kacau saya. Engkau dunia engkau dan aku dunia aku.” Sehabis kata kata aku lihat
Sarina tersenyum lalu memalingkan wajahnya ke arah lain. Aku juga memalingkan
wajah ku kearah depan. “Kerek sungguh minah ni.” Ngomel ku geram!
Aku tidak tahan dihentam
sebegitu. Aku jugak tidak tahu dari mana datangnya keberanian aku hingga
lancang mulut aku membidas kata kata wanita itu.
Tren berhenti. Pintu
terbuka,sebahagian penumpang pelik itu turun dan sebahagian besar melangkah masuk. Kali ini ku lihat sebuah
keluarga kecil. Seorang ayah, ibu dan 4
orang anak kecil kecil. Anak anak itu tidak menangis atau berkejar kejaran, malah membontoti ibu ayah
mereka duduk dengan sopan. Anak yang sulung, ku kira hanyalah berusia 9 atau 10
tahun, menjaga adiknya yang lain dengan penuh tanggungjawab. Tiba tiba ibunya
memandang ke arah aku dan tersenyum,memandang aku atas dan bawah lalu
menggeleng kepala. Ini membuatkan aku sedikit tersinggung. Aku terus
memalingkan muka dan bertemu pandang dengan cik Sarina di sebelah ku. Dia
tersenyum penuh makna padaku.
“Kan sudahku katakan agak pelik
bila seorang remaja berkeliaran seorang diri di kala lewat malam begini.”
Sarina mengomel lagi.
“Aku bukan berkeliaran. Faham!
Aku berkerja. Aku ada tanggungjawab yang harus aku laksanakan. Yang engkau ni pulak
apa hal? Mana laki engkau? Engkau pun merayau rayau waktu lewat macam ni kenapa
pulak? Jangan nak main tuduh sebarangan saja. Zaman engkau dah lama berlalu.
Kini zaman aku. Kehidupan kita berbeza.” Aku membalas lagi kata-katanya. Geram sungguh. Sarina hanya
terdiam dan memandang jari jemarinya yang cantik itu.
“Sejak kami menggunakan keretapi ini,
hanya engkau saja yang dapat melihat kami. Aku rasa gembira dapat bercakap
dengan engkau. Maafkan aku jikalau aku membuatkan engkau marah.” Sarina lalu
tunduk melihat cincin di jari jarinya. Aku tidak membalas kata katanya malah
memilih untuk berzikir di dalam hati dengan lebih kencang lagi. Pertahanan diri aku tidak boleh goyang!
“Gerimis. Pabila hujan di waktu
malam, angin menderu umpama cinta yang disirami embun rindu. Aku tenang melihat
hujan sebegini. Engkau suka hujan?” tiba tiba Sarina bermadah dan menyoal aku.
“Hujan jugak boleh membuatkan aku
demam. Aku tak boleh ditimpa hujan, nanti aku akan selsema dan batuk.” Aku
menjawab jujur. Sarina memandang aku kehairanan.
“Apa maksudmu?” Soalnya tidak
faham barangkali.
“Aku tak boleh ditimpa air hujan, aku mudah sakit.” Aku menjelaskan
lagi. Harap kali ini dia faham.
“Kau sakitkah sekarang?” Wajahnya
sedikit berubah. Tiba tiba pedulikan aku pulak! Eh perempuan ni!
“Tidak. Emm….boleh aku tanya kau
sesuatu, Sarina?” Aku cuba memancing.
“Boleh saja. Tanya lah,,
sekiranya ada jawapannya aku jawab.” Di terus mengelus jemarinya itu.
“Kamu semua ini berjalan dan
bekeliaran pada waktu malam, hendak ke mana?” Soalku.
“Kan aku bilang tadi, aku hendak
ke kampung Bidara menemui anak ku. Hamidah dan Salmah. Mereka dijaga oleh
ibuku. Mereka mereka di hadapan kita ini juga mempunyai hala tuju masing
masing. Aku tidak tahu mereka hendak kemana. Kenapa tidak engkau saja yang
bertanyakan pada mereka. Siapa nama kau? Sedari tadi tidak kau khabarkan padaku
nama mu siapa?” Sarina memberikan aku jawapan dan soalan sekali gus. Aku rasa
diperli secara tidak langsung.
“Oh! Maafkan aku. Namaku Melisa.
Panggil saja aku Lisa.” Aku menjawab tenang. Terasa ruang persahabatan
terbuka di antara aku dan wanita di
tepiku ini.
“Berapa usiamu, Lisa” Galak pula
dia menyoal aku.
“Usiaku 25 tahun. Boleh aku tahu
usia mu pulak?” Aku memancing. “Mesti dah tua bangka makcik ni.” Hati ku
berdesis lucu. Aku nak sangat tahu usianya walaupun aku dah pun dapat
mengagaknya!
“Perlukah aku jawab soalan mu
itu, sedangkan engkau sudah dapat menduganya!” Sarina membidas ku lembut. Aku
terkesima dan terasa wajahku panas menahan malu. “Ah! Peduli apa aku!” Aku
mengomel dalam hati sambil membulatkan mata melihat reaksinya. Aku mendiamkan
diri.
“Aku tersangat tua padamu
sekiranya engkau mahu tahu. Tak perlulah kau persoalkan lagi. Kenapa kau masih
di luar di kala ini. Bukankah kau sepatutnya di rumah atau pun bukankah kau sepatutnya
telah pun tidur?” Sarina seolah olah memulangkan paku buah keras dan soalan
yang sama diulangi.
“Kan aku katakan tadi, aku
berkerja.Aku harus berkerja demi menyara hidup aku dan keluarga aku. Aku berkerja di kedai baju milik ayah
saudaraku. Tak ada manusia yang nak bagi aku duit kalau aku tak kerja.” Eh kenapa aku terikut ikut cara percakapan
perempuan ni pulak? Aku terasa lucu. Lantas tersenyum sumbing.
“ Kedai kami dibuka sampai malam.
Malam ni aku kena urus segalanya sendiri, sebab pakcik dan makcik aku bergaduh,
berperang, dan tempiasnya aku yang kena
tanggung. Aku nak balik rumah la ni. Aku penat. Tengah penat penat begini naik
tren pun kena kacau dengan manusia dari zaman dulu. Itu yang aku tambah penat,
wahai Sarina!” Aku memperbetulkan ayat aku dan secara tidak langsung meluahkan
perasaan aku.
Sarina tergamam. “Sangat susah menjadi wanita seperti engkau. Di manakah ibu
bapamu Lisa?”
“Ayah ibu ada di kampung ku di
Perak. Semua wanita di zaman aku macam ni, malah ada yang lebih penat dari
aku...Emmmm...kau tahu di mana Perak?” Aku menduganya.
“Ya, aku tahu di mana Perak. Aku
pernah tinggal di sana. Suami ku berasal dari Perak. Kami
tinggal di Gopeng satu masa dulu.” Wajahnya
menjadi sedih bila kisah itu disebut.
Tren yang dinaiki terasa
lambatnya perjalanan dan aku tidak kisah lagi. Wanita di hadapan ku ini
ternyata sangat menarik dan aku tiba tiba ingin tahu banyak perkara darinya.
Aku turut terdiam dan terus
memandang penumpang di hadapanku yang tekun membelai ayam jantannya. Ayam pun
dah jadi penumpang tren malam ini. Lucu pula rasa hati ku.
“Kenapa pulak engkau jalan
sendirian tanpa suami? Kenapa suami tak ikut? Kan tak elok dipandang orang.
Kalau di zaman kami memang tak ada masaalah kalau perempuan cantik seperti kau
merayau rayau seorang diri, tapi aku pasti di zaman kau ini satu perkara yang
sangat pelik.” Aku memulangkan paku buah
keras kepadanya. Sarina menghempas nafasnya lalu tersenyum. Ada sinar sedih di
matanya.
“Suami aku mati di bunuh Jepun
semasa mereka bertapak dahulu. Kepalanya
di pancung dan tubuhnya hancur di hujung
pedang tentera Jepun. Aku sempat melarikan diri bersama dua orang anak ku.
Sekarang aku jugak berkerja seperti engkau. Susah membesarkan anak tanpa suami
di sisi. Aku terpaksa berkerja keras mencari sesuap nasi buat mereka ” Sayu
suaranya menjawab soalan aku.
“Setelah Jepun menyerah kalah dan
keluar dari tanah Malaya, aku kembali ke Gopeng tetapi tiada sesiapa pun yang
tinggal lagi di kampung itu. Rumah kami sudah dirobohkan. Aku kembali ke Kuala
Lumpur. Mak dan ayah ku berpindah ke Kampung Bidara dan memulakan hidup baru.
Aku berkerja di sini mencari rezeki. Walaupun kerja yang aku lakukan ini bukan
satu perkerjaan yang suci namun demi sesuap nasi untuk anak anak ku, aku
terpaksa.” Sarina bercerita panjang lebar. Aku tergamam.
Bukan kerja yang suci? Kerja apa
yang dibuatnya. Tahun 1951 kut! Bukan tahun 2018!!! Segala kejahatan beraja di
sana sini. Tahun sebelum merdeka yang dipenuhi manusia yang hidup berlandaskan
tatatertib peradaban manusia.
“Maafkan aku kerana membuat
engkau sedih, Sarina. Boleh aku tahu kenapa suamimu dibunuh tentera Jepun? Aku
tahu sejarah pendudukkan tentera Jepun semasa aku bersekolah dahulu. Aku tahu
kekejaman mereka menyebabkan ramai orang orang kita terbunuh. Kalau kau nak tahu,
di zaman aku sekarang, Jepun merupakan bangsa yang sangat maju dan negara
mereka antara negara termaju di dalam dunia dan…” Aku tak dapat menghabiskan
ayat ayat aku apabila Sarinaa menjegilkan matanya pada ku kerana mungkin dia
tidak suka dengan cerita aku.
“Kau bersekolah? Baguslah. Tetapi
tidak perlu kau ceritakan tentang bangsa yang membunuh suamiku itu. Simpan saja
kehebatan mereka itu untuk kebanggaan diri mu seorang diri.”
Aku terdiam. Lidah aku tidak
putus membaca surah Ayat Kursi berulang kali. Aku harus menjaga diri aku dan
aku tahu di hadapan aku sekarang bukan sesuatu yang normal. Mungkin ini peluang yang tiba tiba datang
memberi aku pengajaran yang hanya Allah saja yang tahu kenapa!
“Bukan aku membangga tentang
mereka, tapi aku cuma ingin menceritakan bahawa bangsa terkutuk itu sudah
berubah, malah ada bangsa lain yang jauh lebih durjana dari mereka. Maafkan
aku.”
Aku mati akal nak bercerita lagi.
Perbualan kami terhenti tiba tiba. Tren terasa bergerak tersangat perlahan, dan
berhenti sekali lagi untuk mengambil penumpang. Aku sudah tidak hirau kemana
tren ini berhenti, dek persekitaran yang menarik ini.
Pintu terbuka dan beberapa wanita
yang agak muda dan cantik seperti Sarina masuk, bersama sama beberapa orang
lelaki muda. Berkebaya cantik, berbatik lepas malah merokok dan ketawa riang. Kumpulan ini agak riuh
rendah. Di zaman itu sudah ada wanita yang merokok dengan bebas di tempat awam.
“Sarina, apakah pekerjaan kau?
Maafkan aku bertanya.” Aku cuba memancing sebuah perbualan lagi dengan dia.
“Aku menghiburkan orang.
Mereka yang membayar aku dengan wang
yang banyak mendapat hiburan yang hebat dari ku…hehehehe….kau fahamkan….”
Sarina menjeling sinis pada ku.
“Wanita-wanita di hadapan mu itu juga berkerja seperti ku.
Mungkin mereka juga penari penari kabaret di kelab-kelab. Itu adalah sumber
wang yang cukup lumayan.” Sarina memuncungkan mulutnya ke arah wanita yang
sedang ketawa sambil betah merokok di dalam tren.
“Kau tidak jijik membuat kerja
itu”
“Mengapa harus aku jijik
sekiranya wang yang ku dapat mampu menyara anak anak dan keluargaku di
kampung?”
“Tidak takutkah engkau pada Tuhan
yang maha kaya? Kau tau apa dosa dan neraka”
“Apa ada dengan dosa dan neraka?
Sampai masanya aku akan berhenti. Berhenti setelah nafas tiada dan rohku
dicabut pergi..hehhehehe” Sarina ketawa ibarat iblis.
“Ikut suka engkaulah, asalkan
jangan kau usik duniaku dan diriku. Engkau di sana dan aku di sini.” Serentak
dengan itu aku mengulang lagi ayat Kursi. Sarina ku lihat merenung ke depan
seolah olah tidak mendengar bebelan ku. Kembali pekak agaknya.
Malam terus merangkak, dan tren
terus berhenti di perhentian yang seterusnya dan hanya penumpang penumpang lama
saja yang naik dan turun. Aku hairan kerana tiada orang lain sezaman ku yang
naik kecuali mereka mereka ini. Tren semakin hampir menuju ke Stesen Kuala
Lumpur, dan ini adalah perhentian ku untuk bertukar ke laluan Putra menuju ke
Gombak. Aku menjeling pada budak perempuan yang sedang tidur. Ya, dia masih
tidur dan pasangan cina yang sedari tadi tidur tidak sedarkan diri itu jugak
terus hanyut dalam mimpi masing masing. Hujan di luar galak menyiram bumi.
Tiba-tiba aku didatangi
keberanian untuk bertanya beberapa soalan pada cik Sarina yang sedari tadi diam
setelah dibasuh oleh aku.
“Kenapa engkau masih di sini?
Zaman engkau sudah berakhir” Aku menyoalnya.
“Bukan aku yang ada di sini, tapi
engkau yang melintas ke zaman kami. Peluang ini bukan berkekalan, engkau hanya
diberi beberapa ketika sahaja. Cuba kau lihat di sekelilingmu. Adakah lagi
manusia seperti kamu yang memasuki keretapi terakhir ini?”
Serentak dengan itu aku melihat
sekeliling, dan sungguh benar apa yang dikatakan Sarina itu. Hanya aku sahaja
yang ada di dalam tren itu manakala budak perempuan dan pasangan berbangsa cina
itu terus terusan tidur seolah olah tidak sedar apa yang sedang berlaku!
“Engkau jangan takut. Engkau
tidak kemana mana pun. Engkau akan sampai ke tempat yang kau tuju..apa namanya,
yaa…Gombak. Hutan belantara yang tidak didiami sesiapa pun kecuali sesetengah
kaum terbuang” Sarina tersenyum sebaik saja ayat terakhir dilafazkan.
“Aku tidak mengganggu engkau, aku
berharap aku jugak tidak diganggu.Aku hanya ingin balik dan rehat. Aku banyak
tanggungjawab yang perlu aku laksanakan. Engkau tidak faham dan tak mungkin
faham. Zaman kau,tidak ramai kaum wanita
yang berkerja dan hidup dalam kepompong yang dibelenggu adat dan pantang larang. Serba serbi tak boleh dan
serba serbi terlarang. Zaman aku, semua itu sudah tidak ada dan kalau aku tak menjaga periuk nasi aku
sendiri tak akan ada manusia lain pun yang akan peduli, dan kerja yang aku
lakukan tidak jijik.” Aku menerangkan dengan penuh berhemah, seram pulak kalau
makhluk di hadapan aku ni naik angin tak pasal pasal kena cakar!
“Mahukah kau ikut aku ke kampung
Bidara? Kau dapat berkenal kenal dengan anak dan ibu bapaku. Kau budak yang
baik, aku mahu ibu bapa aku berjumpa dengan gadis baik seperti kau.” Sarina
mengeluarkan satu pelawaan yang ku kira tidak sama sekali masuk akal. Aku
mengikuti dia adalah umpama berbaring di trek LRT untuk di lenyek oleh tren !!!
“Kau dapat melihat zaman sebelum
kau lahir. Peluang ini bukan datang selalu. Jangan takut, aku akan menjaga kau
sebaik mungkin. Kau akan kuhantar kembali ke stesen ini bila kau mau pulang
nanti.” Sarina sungguh sungguh berharap.
“Terima kasih banyak Sarina
kerana sudi menjemput aku. Tapi aku perlu segera pulang. Aku sangat penat dan
aku bekerja pada esok hari. Aku tak boleh nak ponteng kerja….” Belum habis ayat
aku dihabiskan dia mencelah.
“Apa itu ponteng?” Wajahnya
kosong, dia tak faham penjelasan aku. Orang dulu dulu memang tidak tahu ayat
Bahasa Malaysia yang tinggi kah? Aku mengutuk.
“Bukan aku tidak faham, tapi aku
tak tau apa benda ponteng itu.” Luhur jawabnya.
“Ponteng ialah, apabila kau harus
ada di suatu tempat tetapi kau tidak datang. Itu maksudnya ponteng. Contohnya
kau perlu pergi kerja tapi kau pergi merayau rayau di tempat lain sedangkan kau
sepatutnya berkerja di waktu itu. Ha gitu…faham?” Aku tersenyum dengan ayat
akhir itu.
“Baiklah kalau begitu. Terima
kasih kerana sudi berbual dengan aku. Keretapi sudah sampai di Kuala Lumpur.
Aku harap satu hari nanti kita akan bertemu lagi dan dapat berbual mesra
seperti tadi. Hati hati di malam yang sunyi…atau kau juga tidak gentar dengan
malam yang kelam tapi berpenghuni?”
Sarina terus berdiri membetulkan
letak kain susunnya. Aku seolah olah tergamam dan terpaku di kerusi. Tiba-tiba
bahu aku dicuit.
“Awak, hujan lebat la, boleh
share payung tak, saya nak ke CM , payung tak ada.” Gadis yg sedari tadi tidur
kini telah berdiri di sebelah ku. Ku lihat di dalam tren itu tiada lagi
kelihatan manusia manusia di tahun 1951 tadi. Tren sudah pun kosong. Pasangan
cina yang nyenyak tidur itu juga telah meninggalkan tren. Aku telah kembali ke
dunia nyata. 2018. Aku menarik nafas lega!
“Ya, ya boleh. Jom kita jalan
sekali.” Aku tiba-tiba merasa seram pulak bila melihat tren kosong!
Aku terus meluru ke pintu dan menarik lengan
budak perempuan tadi yang terpinga pinga tetapi akur dengan tindakkan aku.
Sebaik saja kami turun, pintu tren itu ditutup. Aku berdiri di atas platform melihat
ke kiri dan ke kanan, dan apa yang ku saksikan adalah, begitu ramai manusia
berpakaian ala ala zaman belum merdeka yang kelihatan sungguh sibuk ke sana dan
sini dengan urusan masing masing! Jauh di pintu masuk kulihat Sarina sedang
tersenyum mesra ke arahku sebelum berlalu pergi.
Hujan yang gerimis terus turun
membasahi jalan, dan kulihat jam di tangan telah pun menunjukkan ke pukul 10:30
malam. Baru aku menyedari, betapa kurangnya orang di stesyen keretapi di kala
itu, tetapi penghuni tahun 1951 kelihatan ramai dan meriah sekali. Aku terus
berjalan tanpa memandang ke arah mereka.


Comments