Masa

Sebelum ni aku jugak yang beria ia tak nak lagi berkerja. Hampir setiap hari aku mengimpikan duduk di rumah dan habiskan masa menjadi surirumah sepenuh masa. Memasak mengemas dan menumpukan seluruh tumpuan untuk anak anak, dengan harapan susunatur jadual anak lebih teratur. Duit pun jimat kerana tak payah lagi menghantar anak ke transit. Anak anak bujang pun sempurna bila aku yang uruskan sendiri. Aku selalu impikan masa untuk menghabiskan manuskrip yang separuh jalan aku usahakan. Buku buku yang perlu aku baca. Buku cerita yang belambak aku beli dan tak habis dibaca.Malah aku bersungut masa aku hanya terluang di hujung minggu. Masa dengan Allah Taala jugak tak ada!! 

Bila di pejabat aku jadi tak bersemangat kerana 10 tahun aku melakukan benda yang sama setiap hari. Hampir setiap hari jugak aku memikirkan untuk MC dan bercuti kecemasan.

Sekarang....emmm sekarang Allah Taala dah makbulkan impian aku, untuk duduk dirumah! Aku dapat melaksanakan semua impian yang aku senaraikan di atas tadi.

1. Menguruskan anak anak dengan sempurna

2. Menghabiskan manuskrip tertunggak 

3. Membaca kesemua buku buku baru yang aku beli

4. Dapat fokus kerja sekolah anak anak dengan lebih sempurna.

5. Masa dengan Allah Taala akan lebih banyak!!! (Ini paling penting dari segala gala yang di atas)

VSS yang aku ambil ada hikmahnya.  Minggu pertama aku tidak berkerja aku seperti orang yang hilang arah. Orang yang tiada visi. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku merasakan hidup aku seperti ada lohong yang besar. Seperti sebahagian dari hidup aku diragut pergi. Tiba tiba hati jadi sedih. Ya aku dah habiskan masa aku dengan menangis sepuas hati. Aku sendiri tak tahu tangisan itu untuk apa, tapi setelah emosi aku stabil aku dapat mencari puncanya. Aku sedih melihat tempat kerja aku yang menyimpan sejuta kenangan. Sebuah projek yang kulihat merupakan tanah kosong telah dibangunkan menjadi 2 bangunan pangsapuri mewah yang cantik dan hebat. Aku ada sebahagian dari projek yang telah siap itu. Aku ada hak untuk rasa bangga. Kerana itu aku menangis. Air mata itu aku rasakan berbaloi dititiskan atas segala penat lelah yang aku humbankan sepanjang berjalannya projek itu.

Sekarang aku punya banyak masa, masa yang tak ternilai harganya. Rezeki Allah yang bagi. Aku perlu usaha untuk kesinambungan hidup. Aku punya tanggungjawab untuk membantu Baba membesarkan ketiga tiga anak yang masih kecil. Aku banyak masa untuk luangkan bersama mereka yang aku sayangi.  Yang perlu sekarang adalah lebih sabar menghadapi dunia surirumah sepenuh masa. Tutup buku dunia korporat buat selama lamanya. In sya ALLAH.

Comments

Popular Posts